Oleh : Ameen Hussaini
Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng baru-baru ini sekali lagi menyuarakan hasrat agar kerajaan melanjutkan moratorium enam bulan lagi sehingga march 2021. Ini bagi memberi kelegaan kepada mereka yang terjejas teruk akbibat pandemik covid-19. Ada perniagaan yang gulung tikar, ada pekerja yang gajinya dipotong, ada yang dibuang kerja. Jadi moratorium yang diberi sebelum ini memang amat membantu namun tempohnya tidak mencukupi. Menurut beliau lagi, sekiranya moratorium tidak dilanjutkan, pengangguran akan kembali meningkat dan banyak syarikat yang akan gulung tikar. Jumlah pengangguran yang berkurang dari 5.3 peratus kepada 4.9(dari 826,100 kepada 773,200) pada bulan Jun adalah bukti moratorium tersebut berkesan. Namun menurut Presiden MTUC, jumlah ni berkemungkinan lebih tinggi kerana terdapat syarikat yang memberhentikan pekerja tanpa memaklumkan kepada jabatan sumber manusia. Ini diakui sendiri oleh Menteri Sumber Manusia M. Saravanan. Menurut beliau lagi, angka ini juga tidak mengambil kira golongan bekerja sendiri yang kehilangan pekerjaan.
Selanjutnya MTUC telah menggesa kerajaan agar memaklumkan perkara sebenar kepada rakyat Malaysia akan keadaan ekonomi negara kita. Apatah lagi, Bank Negara Malaysia melaporkan GDP negara telah mengecut sebanyak 17.1% pada suku kedua. Ini petanda yang tidak baik. Oleh itu, kerajaan tidak harus bersorok-sorok kepada rakyat dan memaklum berita yang manis-manis sahaja. Rakyat berhak mengetahui akan perkara sebenar. Adakah kerajaan menyembunyikan perkara sebenar agar kerajaan tidak perlu melanjutkan moratorium dengan alasan ekonomi telah pulih?. Hadith Nabi ada menyebut”katakanlah yang sebenar walaupun pahit”. Kerajaan PN yang didominasi oleh Melayu-Islam tentu tahu dan faham benar akan hadith ini.
Kenyataan Menteri kewangan Tengku Zafrul yang kononnya bank telah rugi sebanyak 6.4 billion sepanjang tempoh moratorium menampakkan dengan jelas bahawa beliau pro bank. Apatah lagi latar belakang beliau yang datang dari CIMB bank. Namun apa yang tidak diberitahu kepada kita adalah bank-bank ini telah membuat untung selepas cukai sebanyak 32 billion pada tahun 2019 ! Jadi mereka masih boleh menyerap kos penangguhan ini jika mereka mahu. Ini hanyalah pengorbanan kecil pihak bank terhadap peminjam di masa yang sukar ini. Tambahan pula, moratorium ini hanya lanjutan tempoh, bukannya hutang-hutang tersebut dipadam atau dibatalkan. Bank-bank tetap akan mendapat semula bayaran tersebut dengan tempoh pinjamannya dipanjangkan. Jika bank keberatan untuk menampung kerugian 6.4 billion tersebut, kerajaan boleh masuk campur dengan mengeluarkan dana yang ada bagi menampung jumlah 6.4 billion itu untuk tempoh enam bulan lagi. Kerajaan tidak harus membiarkan nasib peminjam diserahkan bulat-bulat kepada bank. Selain Lim Guan Eng, bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq turut menyuarakan perkara yang sama di dalam dewan rakyat. Beliau berkata, syarikat-syarikat kecil ini sangat-sangat memerlukan extension moratorium ini bukan untuk membuat untung lebih, tetapi demi survival mereka semata-mata. Kita perlukan MP-MP seperti ini yang faham denyut nadi rakyat di saat yang getir ini. Malangnya, mana suara dari ahli parlimen Perikatan Nasional terhadap perkara ini? Ianya akan lebih berkesan jika ada pihak dari PN turut menyokong suara pembangkang terhadap perkara yang memberi manfaat kepada semua rakyat. Jangan kita hanya berpolitik dan bermusuh sepanjang masa. Ada ketika dan waktunya politik harus diketepikan dalam isu-isu tertentu terutama dalam keadaan negara diancam wabak covid-19 sekarang. Malangnya di Malaysia ini parti politik terlalu dominan sehingga mengetepikan kepentingan rakyat dan negara dalam menghadapi krisis.
Pengumuman PM Muhyiddin Yassin baru-baru tidak merangkumi semua golongan. Ia hanya melibatkan golongan pekerja yang dibuang kerja dan golongan yang dipotong gaji mereka. Mungkin beliau terlepas pandang terhadap peniaga kecil dan golongan yang bekerja sendiri. Misalnya penangan covid-19 telah mengakibatkan lebih 2000 kedai kopi gulung tikar sejak pkp dikuatkuasa termasuk di Pulau Pinang yang merupakan lokasi pelancongan dan juga Malaysia Timur. Sempadan yang ditutup menyebabkan pelancong tidak dapat masuk dan jumlah pelanggan telah berkurang. Ditambah pula dengan SOP yang harus dipatuhi. Setakat ini, kebanyakkan ahli persatuan kedai kopi memaklumkan yang perniagaan mereka berkurangan sebanyak 40% berbanding sebelum PKP. Bahkan ada restoran di Pinang Pinang memberitahu, bahawa perniagaan mereka terjejas hingga 70% ! Melihat keadaan ini semua, Presiden Persatuan Kedai Kopi Malaysia-Singapura menjangka tempoh pemulihan akan mengambil masa lebih lama. Disebabkan itu, memikirkan terpaksa menanggung lebih banyak kerugian, ramai pengusaha ini memilih untuk menutup perniagaan mereka. Berdasarkan maklum balas dari seluruh negara, lebih banyak kedai kopi tradisional di Pulau Pinang dan Sarawak memilih untuk menghentikan operasi. Jika kerajaan tidak bertindak segera, sudah tentu ramai yang akan muflis pada bulan oktober ini dan masalah akan bertambah parah dari masalah ekonomi kepada masalah sosial.Keadaan rumah tangga akan bertambah tegang, masalah mental akan meningkat dan penganguran akan berleluasa. Seharusnya lebih ramai pemimpin masyarakat,parti-parti pembangkang ,NGO-NGO harus terus menerus membangkitkan isu ini dan memberikan tekanan kepada kerajaan agar berpihak kepada rakyat. Kesan covid-19 bukan hanya pada rangkaian kedai kopi dan restoran sahaja.
Sehubungan dengan itu, maklumat terbaru yang diterima dari FMM-MIER bahawa hampir 40% pengilang di Malaysia mendedahkan perniagaan mereka hanya mampu bertahan kurang dari setahun. Perniagaan mereka terjejas akibat covid-19 dan PKP yang menyaksikan semua perniagaan bukan perlu terhenti. Selanjutnya dua pertiga dari pengilang ini akan melakukan pemotongan kos tenaga kerja dengan melaksanakan pemotongan gaji dan mengurangkan jumlah pekerja. Setakat Julai 2020, 17% pengilang sudah mengurangkan jumlah pekerja antara 10% ke 30%. Pengilang-pengilang yang mampu bertahan selama 12 bulan itu mengatakan itu disebabkan oleh pakej rangsangan kerajaan, subsidi upah dan moratorium bank. Jika keadaan ini berterusan, apa yang akan terjadi terhadap nasib pekerja-pekerja ini? Ia ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Pekerja yang telah dipotong gaji dan yang lebih teruk yang telah dibuang kerja bagaimana mereka hendak membayar pinjaman mereka. Bank yang telah untung saban tahun berbillion ringgit sewajarnya melakukan sedikit pengorbanan agar mereka tidak terjerumus ke jurang muflis. Dari gambaran yang diberikan ini, adalah sangat wajar kerajaan melanjutkan moratorium selama enam bulan lagi bukan hanya setakat lanjutan tiga bulan. Itupun bergantung pada ihsan pihak bank untuk melulus atau tidak. Seperti kata YB Syed Saddiq “Extend the loan moratorium to safeguard the interest of all Malaysian, not just the interest of big banks.”
