Sudahlah PKP 2.0 diumumkan baru-baru
ini, selang seharinya beliau Tan Sri Muhyiddin mengumumkan perintah darurat di
seluruh negara. Apakah PKP tidak cukup untuk menangani pandemik covid-19? Umum
mengetahui bahawa kerajaan TSMY tidak memilki majoriti. Beliau juga tidak
pernah membuktikan keabsahan sebagai PM di dalam parlimen. Terdapat lebih dari
20 usul undi tidak percaya terhadap beliau diusulkan di parlimen bahkan ia
turut melibatkan ahli parlimen kerajaan iaitu Tengku Razaleigh. Namun tanpa
rasa malu, kesemua usul ini telah ditolak oleh Speaker Azizan Harun. Terdapat
video lama yang tular tentang speaker sekarang Azizan Harun menjawab soalan
tentang usul undi tidak percaya. Beliau menjawab, apabila usul ini dibawa ia
mesti diutamakan oleh speaker dari usul-usul yang lain. Nmaun malangnya,
apabila beliau menajwat jawatan itu sekarang semua terbalik 180° . Integriti seseorang itu teruji apabila mendapat
jawatan dan kuasa. Jelas beliau menentang kenyataan beliau sendiri.
Berbalik kepada persoalan darurat. Kenapa TSMY tergesa-gesa
mengisytiharkannya sedangkan sehari sebelumnya PKP 2.0 telahpun diumumkan? Saya
rasa semua boleh meneka. Beberapa hari sebelumnya, ahli parlimen Machang Datuk
Ahmad Jazlan telah menarik sokongan beliau terhadap kerajaan PN. Beliau juga
telah meletak jawatan sebagai pengerusi MPOB sebelum itu. Sehari sebelum
darurat diumumkan Datuk Nazri Aziz ahli parlimen Padang Rengas telah membuat
pengumuman akan melakukan sidang media. Justeru TSMY harus bertindak pantas dan
memintas UMNO sebelum kerajaan beliau tumbang. Semua mengetahui, kerajaan
pimpinan TSMY mempunyai majoriti yang sangat tipis. Mungkin 1 atau 2 kerusi
sahaja. Ini juga kerajaan yang paling tipis dan paling tidak stabil dalam
sejarah Malaysia. Sungguh malang sekali dikala negara dilanda krisis kesihatan
dan juga krisis ekonomi kita memiliki kerajaan dan pimpinan yang lemah dan
tidak stabil. Seorang kawan saya mengatakan, “in time of crisis we need a
strong leader and a stable government”.
Kita tidak mahu kerajaan yang mempolitikkan covid-19. Kerajaan yang hidup kerana covid-19. Takut untuk membuka
parlimen dan menjawab soalan-soalan dari pembangkang. Sebaliknya kita mahu kerajaan yang
benar-benar mahu menyelesaikan krisis dan pandemik ini dengan sebaik-baiknya
dengan mendengar nasihat dari pakar-pakar kesihatan.
Kita lihat bagaimana Singapura Berjaya meredakan jumlah
jangkitan walhal jumlah jangkitan di negara mereka lebih teruk dari Malaysia
pada tahun lepas bahkan sampai mencecah 1400 kes sehari. Walhal kes di negara
kita hanya sekitar 100-200 kes sehari pada Ketika itu. Amat malang keadaan
sudah terbalik. Sekarang kes Singapura hanya mencecah 1 atau 2 digit. Begitu
juga Thailand pada hujung tahun lepas hanya mencecah angka 2 digit. Sementara
kes di negara kita telah mencecah sehingga 4000 kes baru-baru ini!
Adakah kerajaan sengaja membiarkan covid-19 ini dengan
leluasa agar mereka dapat berselindung di sebalik wabak ini? Adakah kerajaan
sengapa melonggarkan pkp sebelum ini agar ianya merebak untuk kerajaan
melaksanakan pkp semula agar jangka hanyat politik mereka dapat berpanjangan?
Semua orang tahu bahawa kes covid-19 ini melonjak semasa
kempen pilihanraya negeri Sabah. Kerana ketamakan kuasa dan berang Datuk Seri
Shafie Afdhal tidak mahu bersama dengan pakatan tebuk atap beliau, TSMY telah
merancang menjatuhkan kerajaan Parti Warisan di Sabah bersama-sama dengan
Hamzah Zainuddin dan Tan Sri Musa Aman. Semua pertuduhan terdapat Musa Aman
digugurkan kononnya tiada bukti demi untuk menjatuhkan kerajaan Warisan.
Akhirnya muncul pelbagai kluster (kelompok) baru di serata negara yang berpunca
dari Sabah.
Darurat yang disytiharkan baru-baru ini memberi kuasa
yang luas tidak terbatas kepada TSMY. Kita tidak mempertikai hak YDPA untuk
mengisytiharkannya. Namun yang kita pertikaikan ialah adakah TSMY memiliki keabsahan
sebagai PM untuk mempersembahkan cadangan tersebut? Ini kerana beliau sudah
tidak memiliki majoriti sebagai PM dan seharusnya jika mengikut peruntukan
perlembagaan beliau harus meletakkan jawatan dan YDPA harus melantik seseorang
yang pada fikiran baginda mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli parlimen. Oleh sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim
bersama dengan rakan-rakan parti pembangkang yang lain termasuk Parti Pejuang
akan mencabar pengisytiharan darurat TSMY ini di mahkamah . Ini dilakukan demi
melindungi perlembagaan persekutuan dan rakyat Malaysia dari salahguna kuasa
kerajaan.