Friday, October 30, 2020

MENUJU KERAJAAN PERPADUAN

Oleh Ameen Hussaini

Presiden Argentina Alberto Fernadez, ketika diangkat menjadi Presiden Argentina pada disember tahun lepas, telah menyeru kepada semua parti politik dan rakyat Argentina untuk menyatu di saat negara itu menghadapi krisis. Seruan beliau ini disebabkan Argentina dilanda krisis ekonomi dan ketidaktentuan politik yang tidak nampak penghujungnya. Ia mencatatkan kadar inflasi tertinggi sejak 1991,kadar pengangguran tertinggi sejak 2006, kadar kemiskinan tertinggi sejak 1998 dan kadar produksi industri yang paling rendah sejak 2006. Oleh sebab itu, beliau menyeru dan mengajak semua parti untuk membentuk kerajaan perpaduan.

 

Selang beberapa bulan selepas itu, krisis politik turut melanda negara kita di mana kerajaan pakatan harapan telah tumbang apabila bebarapa ahli parlimennya telah menyeberang ke pihak lawan. Dalam tempoh krisis tersebut, Tun M telah dilantik sebagai PM interim. Dalam siaran langsung ke seluruh negara, beliau telah mencadang supaya dibentuk kerajaan perpaduan dengan menyatukan semua parti politik baik kerajaan mahupun pembangkang. Ini kerana ketika itu,virus covid-19 telah pun merebak ke dalam negara kita. Antara orang yang menyokong idea beliau adalah Prof. Jomo. Menurut beliau,inilah ketikanya kita bersama-sama “come out as a nation”. Malangnya idea beliau telah ditolak oleh Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Mereka menolak kerana merasakan tidak akan ada semak dan imbang apabila semua parti berada dalam kerajaan dan perdana menteri akan lebih berkuasa di bawah kerajaan perpaduan ini. Akhirnya idea beliau ditolak dan TS Muhyiddin Yassin pun diangkat menjadi PM ke 8 dengan majoriti sangat tipis-hanya 2 undi. 

 

Selang beberapa bulan berlalu, kelemahan Muhyiddin semakin ketara kelihatan. Dengan majoriti paling tipis, situasi politik negara dalam keadaan tidak stabil. Sehingga diperli,jika dua orang dari ahli parlimen PN sakit perut kerajaan boleh jatuh. Ini membuka ruang kepada ugut-mengugut dan tawar-menawar untuk mengukuhkan sokongan tipis yang dimiliki beliau. Ramai dari kalangan pemimpin umno yang ditawar jawatan dalam GLC walaupun tidak mempunyai kelayakan. Nampaknya old practicesemasa zaman umno menjadi kerajaan kembali diamalkan. Rakaman suara Muhyiddin dalam mesyuarat mpt BERSATU yang beliau sebut sebagai scheme of thingbenar-benar dilakukannya sebaik menjadi PM.

Namun demikian, ini tetap tidak memuaskan pemimpin-pemimpin umno yang mahukan jawatan yang lebih penting dalam kabinet. Apalagi mereka adalah parti komponen terbesar dalam PN. Asakan demi asakan terhadap Muhyiddin oleh umno ini telah diramal oleh Tun M. Beliau telah mengingatkan Muhyiddin supaya tidak menerima umno secara en blocnamun tidak diendahkan beliau. Akhirnya amaran Tun M itu benar-benar terjadi dan Muhyiddin berdepan kesukaran untuk mengawal umno dalam kerajaan PN. Tambahan pula beliau turut menghadapi ancaman dari blok pembangkang apabila Anwar Ibrahim mengumumkan dalam sidang media yang beliau memiliki majoriti untuk menjadi PM. Namun disebabkan oleh YDPA gering ketika itu, Muhyiddin telah terselamat. Akan tetapi, sampai bila beliau boleh bertahan? Dengan majoriti tipis, kedudukan beliau ibarat telur di hujung tanduk. Menyedari kedudukan beliau dalam bahaya, Muhyiddin telah mencadangkan kepada YDPA supaya diisytiharkan darurat agar PM diberikan kuasa penuh kononnya untuk menangani covid-19. Tindakan Muhyiddin ini sememangnya tindakan yang tidak bertanggungjawab sebagai seorang PM-menggunakan darurat untuk menyelamatkan kedudukan politik beliau. Walhal, jika dilihat statistik, kes di Malaysia tidaklah seteruk negara-negara lain yang mencecah ratusan ribu kes. Tambahan pula, di dalam negara kita, tidak ada rusuhan yang berlaku, sebaliknya rakyat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan. Sebaliknya pelanggaran SOP ini kerap dilakukan oleh menteri-menteri kita yang cuai dan alpa atau mereka merasakan tidak ada apa-apa tindakan yang boleh dikenakan terhadap mereka. Kita juga tidak melihat kejadian rakyat menyerbu pasaraya untuk mendapat bekalan makanan. Keadaan masih terkawal. Jadi apa perlunya darurat? Ternyata kududukan politik beliau yang berada dalam darurat. Tambahan pula, dalam keadaan darurat, tidak ada syura atau perundingan dengan pihak-pihak berkepentingan. Tidak ada bahas,pertanyaan yang perlu dijawab dan sudah tentu tidak ada semak dan imbang seperti mana dalam parlimen. Oleh itu, YDPA telah membuat keputusan yang bijak setelah mengambil kira semua faktor dengan menolak permohonan Muhyiddin. Jadi apa, jalan penyelesaian krisis politik di Malaysia? Sudah tentu PRU tidak boleh dibenarkan kerana wabak covid-19 belum reda. Kita sudah lihat apa yang berlaku di Sabah setelah PRN negeri tersebut baru-baru ini. Jadi pilihan yanag kita ada adalah dengan menubuh kerajaan perpaduan. Bagaimana bentuknya?Siapa yang akan terlibat dalam kerajaan perpaduan ini?Siapa penggeraknya dan siapa yang akan memimpinnya? Tunggu rencana seterusnya…

 

No comments:

Post a Comment

BIG PHARMA, GOVERNMENTS AND CORPORATIONS : YOU ALWAYS DANCE TO THE TUNE OF YOUR FUNDER

 Oleh Ameen Hussaini Sejak virus covid-19 melanda seluruh dunia, kita dapat melihat syarikat-syarikat big pharma berlumba-lumba menghasilkan...