Thursday, March 21, 2019

MEMILIH KEUTAMAAN : PROJEK KERETA NASIONAL KE TIGA,ATAU PROJEK PENGELUARAN TAYAR?

Dr. Mahathir baru-baru ini membidas pengkritik beliau berkenaan dengan projek kereta nasional ke 3.Beliau berkata “they know nothing”.Beliau menekankan bahawa projek kereta ini penting bagi syarikat Malaysia mempelajari kejuruteraan automatif dan seterusnya mampu membuat kereta yang bermutu.Kita dapat memahami harapan beliau dan juga kekecewaan beliau apabila saham proton di beli oleh syarikat Geely dari China.Justeru, proton bukan lagi syarikat nasional Malaysia.

PROTON DAN MASALAHNYA 

Apabila proton diluncurkan pada tahun 1985 dengan kerjasama syarikat Mitsubishi Jepun, ia menjadi kebanggaan rakyat Malaysia kerana kita berupaya mengeluarkan kereta kita sendiri.Namun hakikatnya ,Malaysia hanya membuat komponen-komponen tertentu kereta tersebut dan tidakpun berupaya untuk menghasilkan komponen paling penting sesebuah kereta-enjin.Malaysia menjadi assembly centredi mana komponen ini dipasang dan ditukar dengan logo proton.Bahkan setelah 30 tahun berlalu Malaysia masih belum berupaya untuk menghasilkan enjin kita sendiri.Dalam tempoh itu,pelbagai perlindungan diberikan kepada proton supaya industri yang masih infantini dapat berkembang dan akhirnya berdaya maju dan dapat bersaing dengan bebas dengan syarikat-syarikat automatif lain seperti Jepun contohnya.Dalam tempoh tersebut ,cukai yang tinggi dikenakan ke atas kereta-kereta import agar rakyat memilih untuk membeli proton.Ini sememangnya baik bagi melindungi industri tempatan pada peringkat awal. Namun perlindungan ini bukan harus diberikan selama-lamanya sehingga akhirnya menjadi bebanan kepada rakyat Malaysia disebabkan proton tidak mampu meningkatkan mutunya dan rakyat Malaysia terpaksa membeli kereta import dengan harga yang sangat mahal.Nampaknya dalam jangka panjang, projek kereta ini merupakan projek yang bermasalah kepada kerajaan dan juga kepada rakyat.Oleh itu, meneruskan projek kereta ke 3 bukanlah pilihan yang bijak.

Kerajaan seharusnya memberi tumpuan untuk menambah baik infrastruktur pengangkutan awam supaya ianya dapat mengurangkan kesesakan di jalan raya.Apalagi menurut Prof Jomo, kadar pemilikan kereta di Malaysia adalah yang tertinggi di dunia ! Sudah itu ini menggambarkan mutu pengangkutan awam yang teruk dan tidak boleh diharapkan sehingga rakyat tidak mempunyai pilihan melainkan terpaksa memilki kereta. Dengan lambakan kereta di atas jalan, kadar kemalangan sudah tentu akan meningkat. Laporan akhbar metro pada tahun 2017 melaporkan kadar kemalangan di Malaysia sememangnya membimbangkan.Pada tahun 2016 ia mencatat rekod 512,466 kemalangan. Kadar pemilikan kenderaan juga turut meningkat dari jumlah 27 juta kenderaan pada tahun 2016 dan akan terus meningkat kepada 34 pada tahun 2020 dan sudah tentu ini akan menyumbang kepada kesesakan jalan raya yang teruk.Dengan statistik yang diberikan di atas, projek kereta nasional ke 3 tidak harus menjadi keutamaan sebaliknya kerajaan harus menumpu kepada penambahbaikan pengangkutan awam agar ianya menjadi pilihan utama rakyat.

PEMBUATAN TAYAR

Salah satu komponen penting dalam pembuatan kereta ialah tayar dan bahan utama tayar ialah getah.Getah merupakan tanaman utama negara kita sebelum kita beralih kepada tanaman kelapa sawit.Sepanjang penanaman getah, harga komoditi ini telah mengalami naik turun dan kini harganya turun dengan mendadak. Antara kes yang terkenal ialah peristiwa Baling di mana harga komoditi ini jatuh merudum sehingga menyebabkan kesengsaraan terhadap penoreh getah dan tunjuk perasaan mahasiswa secara besar-besaran.Musa Hitam yang menjawat jawatan menteri perusahaan utama ketika itu terpaksa turun ke Baling mewakili PM Tun Razak bagi menenangkan keadaan penoreh getah.Beliau mengisahkan perkara ini dalam bukunya Frankly Speaking.Kerajaan terpaksa membeli getah dari para penoreh bagi menstabilkan harga getah.Kenapa ini semua berlaku? Kita memilki bahan mentah iaitu getah, namun malangnya ia tidak disokong oleh industri ataupun barangan siap dari getah tersebut yang boleh menaikkan harga getah di pasaran.Kita menjual bahan mentah dan membeli barangan siap.Sudah tentu kita akan rugi dalam urusniaga ini.

Malangnya hari ini harga getah masih lagi rendah sehingga penoreh tidak boleh lagi menyara hidup mereka dengan menoreh getah semata-mata.Dengan harga serendah Rm 4 hingga Rm 5/kg bagaimana mereka hendak menyara keluarga dengan kos sara hidup yang semakin meningkat? Daripada meneruskan projek kereta nasional ke 3 adalah lebih baik kereta menumpukan kajian pada komponen penting kereta iaitu pembuatan tayar.

Kita sudah mempunyai bahan mentah.Oleh itu ianya memberi kelebihan kepada kita untuk membuat produk berasaskan getah terutama tayar yang sangat dikehendaki baik dalam motosikal,kereta,bas,lori, kenderaan tentera bahkan hingga sebesar kapal terbang.Kita sedia maklum peranan getah tiruan dalam pembikinan tayar hingga menyebabkan permintaannya menerun dan harga getah asli jatuh.Ini kerana, dalam pembuatan tayar kereta ,komposisi getah asli hanya 15%.Namun demikian, kita boleh menumpukan pembuatan tayar bagi traktor saiz besar yang menggunakan 60% getah asli dalam pembuatannya.Bahkan untuk pesawat, komposisi getah asli yang digunapakai jauh lebih tinggi. Kita harus menumpu pada kekuatan yang kita miliki iaitu sumber bahan mentah dan membina industri dari bahan ini. Sudah tentu tindakan dan penglibatan kerajaan dengan kerjasama syarikat swasta ini akan menaikkan harga getah.Seterusnya ini akan membuka peluang kepada pembukaan rangkaian kedai-kesdai tayar oleh usahawan tempatan yang berminat untuk menceburinya. Selama ini kita mengimport tayar daripada luar.Jenama dari luar seperti Yokohama,Michelin,Silverstone dan dll berlegar di pasaran kita.Negara pengeluar tayar ini  bukan pengeluar getah, namun mereka menghasilkan barangan siap dan mendapat keuntungan berlipat kali ganda.

Justeru,Ini bidang yang seharusnya diterokai oleh menteri pembangunan usahawan Mohd Redzuan Yusof dengan kerjasama kementerian pertanian bagi mengangkat martabat penoreh getah dan seterusnya mencipta usahawan-usahawan baru.Kita harus berpijak di bumi nyata dan memanfaatkan sumber bahan mentah yang dimiliki.Bukankah ini lebih realistik dari terlibat dengan projek kapal terbang?

No comments:

Post a Comment

BIG PHARMA, GOVERNMENTS AND CORPORATIONS : YOU ALWAYS DANCE TO THE TUNE OF YOUR FUNDER

 Oleh Ameen Hussaini Sejak virus covid-19 melanda seluruh dunia, kita dapat melihat syarikat-syarikat big pharma berlumba-lumba menghasilkan...